Friday 24 June 2011

Taiping bakal pusat lebah madu

TAIPING 11 Feb. - Daerah ini dan sekitarnya bakal menjadi pusat penternakan lebah madu negara menerusi pembukaan sebuah pusat pengeluaran produk 'Royal Jelly' oleh syarikat Flora Bee Hive Enterprise Sdn. Bhd. (FBH) di Kamunting dekat sini akhir bulan ini.
Ketua Pegawai Operasi FBH, Kamaruddin Deo Abdullah berkata, syarikatnya merupakan syarikat multinasional yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam industri lebah madu di China, Thailand, Vietnam dan Kemboja.
''Projek ini melibatkan pelaburan sebanyak RM38.6 juta termasuk RM2 juta dari Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
''Sasaran kami ialah mengeluarkan sekurang-kurangnya 500 tan metrik produk 'Royal Jelly' setahun di Kamunting," katanya kepada pemberita.
Beliau menyatakan demikian selepas mewakili FBH bertukar memorandum perjanjian dengan NCIA yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiz Abdul Razak yang disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Dataran Kamunting dekat sini semalam.
Perjanjian tersebut turut melibatkan pembukaan sebuah pusat latihan ternak madu lebah berkonsepkan agro-pelancongan di kawasan tersebut.
Menurut Kamaruddin Deo, pihak syarikat akan menyediakan peralatan, latihan, khidmat nasihat serta memilih lokasi sesuai bagi memastikan peserta berjaya.
Katanya, sebagai permulaan, seramai 200 orang penternak kontrak akan dipilih bagi memulakan projek perintis ternakan lebah madu di Kamunting dan peralatan akan dibekalkan oleh pihak syarikat.
''Kos sebenar bagi setiap peserta adalah sebanyak RM56,500 tetapi pihak syarikat akan memberikan subsidi sebanyak RM26,500 manakala bakinya menerusi pembiayaan Agro Bank.
''Peserta akan dilindungi sepenuhnya kerana FBH akan bertindak sebagai penjamin kepada setiap pembiayaan jika mereka gagal, kita akan ambil semula peralatan dan pembiayaan tersebut," ujarnya.
Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun pertama, para penternak mampu memperoleh sekurang-kurangnya RM800 sebulan selepas ditolak bayaran pinjaman dan pendapatan sebanyak RM3,000 ke atas selepas tempoh tersebut.
''Selepas ini, kita merancang untuk mewujudkan lebih ramai penternak kontrak ladang dalam bentuk syarikat usahawan supaya mereka boleh mendapat pendapatan lebih tinggi.
''Di negara-negara lain, terdapat ramai usahawan ternakan lebah madu yang berjaya dengan pendapatan melebihi RM30,000 sebulan," katanya.
Sementara itu, Zambry berkata, oleh kerana projek tersebut di bawah NCIA, ia mampu membantu kerajaan negeri mengatasi masalah kemiskinan di kawasan itu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_05.htm

No comments:

Post a Comment